Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

REHAT & RAWAT @ MASJID UMT SANTUNI KELUARGA GRADUAN SEMPENA KONVOKESYEN UMT KALI KE-24

KUALA NERUS, 21 Oktober 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Masjid UMT telah menganjurkan Program Rehat & Rawat @ Masjid UMT bersempena Istiadat Konvokesyen UMT Kali Ke-24 yang berlangsung pada 18 hingga 21 Oktober 2026.

Program ini merupakan salah satu inisiatif PISM dalam menyantuni ibu bapa dan ahli keluarga graduan yang hadir dari seluruh pelosok tanah air bagi meraikan kejayaan insan tersayang pada hari penuh bermakna ini.

Sepanjang empat hari penganjuran, Masjid UMT menyediakan kemudahan ruang rehat yang selesa serta jamuan makan tengah hari secara percuma kepada para pengunjung. Kemudahan ini turut memberi peluang kepada keluarga graduan untuk berehat seketika, menunaikan solat dan menjamu selera sementara menunggu urusan istiadat konvokesyen selesai.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen PISM dalam memperkasakan peranan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai pusat khidmat komuniti yang mesra, prihatin dan sentiasa dekat di hati masyarakat.

Inisiatif ini juga menjadi sebahagian daripada usaha membudayakan nilai kasih sayang, kebersamaan dan kesejahteraan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta semangat UMT dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga universiti dan masyarakat.

Masjid UMT bukan sekadar tempat persinggahan, tetapi ruang menyemai kasih, menyantuni tetamu dan meraikan kegembiraan bersama.

Tahniah kepada semua graduan UMT Kali Ke-24! Semoga kejayaan yang diraih menjadi titik permulaan kepada kecemerlangan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca