AUDITORIUM MAHYUDDIN UMT, 12 November 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan program Bongkar Rahsia 4S: Saka, Susuk, Sihir, Santau dan Misteri Penyakit Ain bertempat di Auditorium Mahyuddin, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), UMT.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang ini menampilkan penceramah jemputan, YBrs. Prof. Madya Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Sesi perkongsian ini memberi tumpuan kepada perbincangan berkaitan saka, susuk, sihir, santau serta penyakit ain yang sering menjadi persoalan dalam masyarakat. Perkongsian turut membuka ruang kepada peserta untuk memahami isu-isu tersebut dengan lebih mendalam, khususnya dari sudut kefahaman Islam dan kaedah rawatan asas yang boleh diamalkan.
Penganjuran program seumpama ini merupakan antara usaha berterusan PISM dalam memperluas penyampaian ilmu dan meningkatkan literasi masyarakat terhadap isu-isu berkaitan akidah, kepercayaan serta fenomena spiritual yang memerlukan kefahaman secara tepat dan berhikmah.
Selain menjadi platform perkongsian ilmu bersama pakar dalam bidang berkaitan, program ini turut mencerminkan komitmen PISM untuk terus menyediakan pengisian ilmu yang relevan dengan keperluan warga universiti dan masyarakat setempat.
Diharapkan perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada para peserta serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mendapatkan kefahaman dan panduan yang sahih dalam mendepani pelbagai persoalan kehidupan.







