Kuala Nerus, 4 April 2026 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi menjadi lokasi penganjuran Kursus Perdana Haji 1447H/2026M Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung selama dua hari bermula 3 hingga 4 April 2026 di Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), UMT.
Program anjuran Lembaga Tabung Haji Negeri Terengganu dengan kerjasama UMT ini merupakan penganjuran kali kelima berturut-turut sejak tahun 2022, sekali gus membuktikan komitmen erat kedua-dua pihak dalam menyediakan persiapan terbaik kepada bakal jemaah haji negeri ini.
Seramai 2,000 bakal jemaah haji (dhuyufurrahman) menyertai kursus berkenaan bagi mengikuti persiapan terakhir sebelum berangkat ke Tanah Suci. Sepanjang kursus, peserta diberikan pendedahan menyeluruh melalui sesi taklimat dan latihan praktikal berkaitan ibadat haji dan umrah.
Antara pengisian utama ialah simulasi tawaf, saie, tahallul, wukuf, bermalam di Muzdalifah dan Mina serta melontar jamrah yang dilaksanakan secara praktikal bagi membantu peserta memahami setiap rukun dan wajib haji dengan lebih jelas serta teratur.
Selain itu, peserta turut diberi panduan mengenai persediaan keperluan asas yang perlu dibawa sepanjang latihan dan ibadat haji seperti kain ihram, telekung, uncang berisi 70 biji anak batu, sejadah, tikar dan botol air bagi memastikan mereka lebih bersedia dari aspek fizikal dan pengurusan diri.
Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Terengganu Musim 1447H/2026M telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Turut hadir mengiringi beliau ialah YB Senator Ustazah Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat menjadi bekalan ilmu dan persediaan terbaik kepada para bakal jemaah agar dapat menunaikan ibadat haji dengan lebih yakin, sempurna dan mencapai haji yang mabrur.
Pusat Islam Sultan Mahmud UMT merakamkan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji Negeri Terengganu, seluruh warga kerja UMT serta para sukarelawan yang telah bersama-sama menjayakan penganjuran Kursus Perdana Haji 1447H/2026M demi manfaat para dhuyufurrahman.


















