Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

MAJLIS GRADUASI TOT GURU AL-QURAN UMT PERKASA PENDIDIKAN TAJWID MELALUI PENDEKATAN SAINS DAN TEKNOLOGI

Kuala Nerus, 9 April 2026 – Majlis Graduasi Training of Trainers (TOT) Guru Al-Quran dengan Pendekatan Sains dan Teknologi telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Konvensyen Universiti Malaysia Terengganu (UMTCC), sebagai pengiktirafan kepada para peserta yang berjaya menamatkan latihan intensif dalam memperkasa pengajaran Al-Quran.

Majlis graduasi telah disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Muhammad Suzuri bin Hitam, Dekan Fakulti Sains dan Matematik UMT merangkap Pengerusi Masjid UMT. Turut hadir mengiringi beliau ialah Dr. Kasyfullah bin Abd Kadir, Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud UMT.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Sahabat Al-Quran Terengganu sebagai rakan strategik dalam memperkukuh usaha memperkasa pendidikan Al-Quran di negeri Terengganu melalui pendekatan yang lebih inovatif dan bertepatan dengan perkembangan semasa.

Menghimpunkan guru-guru Al-Quran dari seluruh negeri Terengganu, program ini memberi penekanan kepada penguasaan ilmu tajwid melalui integrasi sains dan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan tersebut membantu peserta memahami aspek makhraj huruf, sifat huruf serta aplikasi teknologi digital dalam penyampaian ilmu Al-Quran secara lebih sistematik dan interaktif.

Sepanjang program, para peserta telah mengikuti lapan modul komprehensif yang menggabungkan teori dan latihan praktikal, sekali gus memperkukuh kemahiran mereka dalam membimbing masyarakat membaca Al-Quran dengan bacaan yang lebih tepat mengikut kaedah tajwid.

Majlis graduasi ini mencerminkan komitmen Universiti Malaysia Terengganu melalui Pusat Islam Sultan Mahmud dalam melahirkan tenaga pengajar Al-Quran yang berkemahiran tinggi, progresif dan bersedia memanfaatkan teknologi sebagai medium memperluaskan penyebaran ilmu Al-Quran.

Diharapkan para graduan dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam komuniti masing-masing serta menjadi pemangkin kepada usaha memartabatkan pendidikan Al-Quran yang berkualiti, relevan dan berdaya saing selaras dengan keperluan semasa.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca