KUALA NERUS, 21 Jun 2026 – Bagi menyambut kedatangan mahasiswa baharu serta keluarga sempena Pendaftaran Program Asasi dan Diploma Sesi 2026/2027 Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) telah menyediakan kemudahan Ruang Rehat (R&R) di Masjid UMT sebagai inisiatif menyantuni warga kampus dan para tetamu.
Program yang berlangsung di Masjid UMT ini menyediakan ruang rehat yang selesa kepada ibu bapa dan pelajar yang hadir, selain menawarkan kemudahan makan tengah hari secara percuma serta ruang nursery khas untuk ibu dan anak.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha PISM dalam memberikan keselesaan kepada para tetamu, di samping membantu melancarkan urusan pendaftaran mahasiswa baharu yang hadir dari pelbagai latar belakang.
Melalui penyediaan kemudahan ini, para ibu bapa dan mahasiswa berpeluang berehat serta mendapatkan ketenangan seketika di Masjid UMT sebelum meneruskan urusan pendaftaran di kampus.
PISM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini. Semoga usaha ini dapat menyumbang kepada pembentukan suasana kampus yang lebih mesra, prihatin dan saling membantu, selaras dengan aspirasi UMT dalam menyantuni kebajikan komuniti universiti.


















