KUALA NERUS, 14 Julai 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Bengkel Penyelarasan dan Pemurnian Dokumen Tadbir Urus Masjid UMT Siri 2 yang berlangsung di Studio Al-Quran, PISM.
Bengkel ini dipengerusikan oleh Prof. Ts. Dr. Muhammad Suzuri bin Hitam, Pengerusi Jawatankuasa Masjid UMT, dan menghimpunkan Ahli Jawatankuasa Masjid UMT bagi meneliti, menyelaras dan memurnikan dokumen tadbir urus Masjid UMT sebagai panduan pengurusan yang lebih sistematik, berkesan dan selaras dengan keperluan semasa.
Sepanjang bengkel, pelbagai cadangan serta pandangan telah dibincangkan secara menyeluruh meliputi aspek dasar dan tadbir urus, struktur pengurusan, bidang kuasa jawatankuasa, pengimarahan masjid, pengurusan kewangan, prosedur operasi serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan dokumen yang dihasilkan benar-benar komprehensif dan praktikal untuk pelaksanaan di Masjid UMT.
Dalam ucapannya, Prof. Ts. Dr. Muhammad Suzuri menekankan bahawa dokumen tadbir urus yang mantap merupakan asas penting dalam memastikan pengurusan Masjid UMT sentiasa teratur, telus dan berdaya saing, di samping mampu menyokong usaha memperkasa peranan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, pembangunan sahsiah dan khidmat kepada warga universiti serta masyarakat.
Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen PISM dan Jawatankuasa Masjid UMT dalam mengamalkan budaya penambahbaikan berterusan serta memperkukuh tadbir urus institusi masjid demi memastikan setiap dasar dan pelaksanaan program dapat dilaksanakan secara lebih cekap, berintegriti dan memberi impak yang optimum kepada seluruh warga UMT













