Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

KULIAH DHUHA TADABBUR: RAHSIA AYAT LAUTAN DALAM AL-QURAN SEMARAKKAN WORLD OCEANS WEEK UMT 2026

KUALA NERUS, 27 Julai 2026 – Bersempena dengan sambutan World Oceans Week (WOW) UMT 2026, Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT telah menganjurkan Kuliah Dhuha Tadabbur bertajuk “Rahsia Ayat Lautan dalam Al-Quran” yang berlangsung di Auditorium Sulaiman, Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, UMT.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Zainudin bin Bachok, Pengarah INOS, UMT. Sesi kuliah pula telah disampaikan oleh Ustaz Muhamad Syaari Ab. Rahman, Jurulatih Utama Tadabbur Centre merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Paradigma Ibrah Sdn. Bhd.

Menerusi pendekatan tadabbur yang interaktif, para peserta telah dibawa menghayati ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan lautan serta menelusuri kehebatan ciptaan Allah SWT. Pengisian ini turut memberikan kefahaman tentang hubungan erat antara wahyu, sains dan kehidupan manusia, di samping menyemai kesedaran mengenai kepentingan memelihara alam sekitar serta mengurus sumber marin secara lestari sebagai amanah dan tanggungjawab bersama.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen PISM dan INOS dalam memperkukuh integrasi ilmu naqli dan aqli, sekali gus menyokong aspirasi UMT untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat terus menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif yang mengangkat nilai-nilai al-Quran, memperkasa ilmu pengetahuan dan membudayakan kelestarian alam demi kesejahteraan ummah dan negara.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca