Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

PERKIM UMT MEWAKILI PISM KE KONVENSYEN WAKAF DAKWAH ANTARABANGSA 2026

KUALA LUMPUR, 27 Julai 2026 – Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memenuhi undangan rasmi bagi menghadiri Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 bertempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Penyertaan delegasi UMT ke konvensyen berprestij anjuran PERKIM Kebangsaan ini diketuai oleh Penasihat Kelab, Ustaz Naim Rafizi bin Rahman, bersama Presiden Kelab PERKIM UMT, Nurul Asma Insyirah binti Asmadi, serta barisan kepimpinan mahasiswi dan ahli kelab.

Konvensyen bertaraf antarabangsa ini dianjurkan bertujuan untuk memperkasakan usaha dakwah Islamiah menerusi pembangunan serta pengurusan wakaf yang mampan dan berimpak tinggi. Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada pengurusan universiti melalui kelulusan peruntukan Tabung Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT bagi memastikan pembinaan modal insan dan agenda dakwah mahasiswa terus diperkasa.

Sepanjang konvensyen dua hari tersebut, para perwakilan UMT berpeluang mengikuti pelbagai sesi pembentangan ilmiah dan forum panel antarabangsa yang menampilkan tokoh-tokoh terkemuka. Antara pengisian utama termasuk pembentangan berkaitan Reimagining Waqf oleh Pengasas Masyi Group, Datuk Dr. Haji Mazlan Ahmad, pengurusan wakaf mualaf oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, serta sesi perbincangan resolusi Tabung Wakaf Dakwah Nasional bersama pimpinan Kementerian Kewangan (MOF) dan JAWHAR. Acara kemuncak konvensyen ini turut diserikan dengan titah perasmian oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, serta penyerahan resolusi konvensyen kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, pada majlis penutup.

Penyertaan ini membuktikan komitmen berterusan UMT dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, berpengetahuan tinggi, serta aktif menyumbang kepada pembangunan ummah selari dengan aspirasi “Malaysia Madani” dan slogan universiti “U and Me Together”.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca