PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

UMT tumbangkan 10 ekor lembu korban, sempena sambutan Sedekad Masjid UMT

Sempena sedekad penubuhan Masjid UMT, UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Berhad akan menumbangkan 10 ekor lembu pada program Korban Perdana yang akan diadakan pada 9 Jun 2025 bertempat di perkarangan Masjid UMT.  Program Korban Perdana telah diadakan pada setiap tahun bermula tahun 2015, namun kelainan pada pada tahun ini adalah buat pertama kalinya bilangan lembu korban berjumlah 10 ekor, bersempena sedekad penubuhan Masjid UMT. 

Seramai 50 orang Asnaf Crew yang merupakan sukarelawan pelajar bersama-sama dengan warga UMT dan komuniti akan bergotong-royong menyembelih, melapah dan mengagihkan daging korban kepada komuniti sekitar.  

Menurut Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT, Dr Kasyfullah bin Abd Kadir, daging korban akan diagihkan kepada lebih 300 keluarga dari tiga (3) qaryah sekitar Masjid UMT iaitu Kampung Kubang Badak, Kampung Pak Tuyu dan Kampung Tanjung Gelam. 

Menurutnya lagi, program ini bukan sahaja memperkukuh semangat pengorbanan dalam kalangan warga kampus, malah memperlihatkan peranan masjid dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. 

“Ibadah korban ini mencerminkan semangat kebersamaan dan kepedulian sosial masjid sebagai institusi rahmah. Sempena ulang tahun ke-10 Masjid UMT, kami beriltizam untuk terus menyantuni komuniti dan memperluas manfaat melalui program seperti ini,” katanya.

Masjid UMT yang mula beroperasi pada tahun 2015 akan terus komited dalam mendukung agenda pembangunan rohani, kebajikan dan pendidikan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif yang melibatkan sinergi antara universiti dan komuniti.

Sebagai tanda kesyukuran, daging korban juga akan dimasak dan Pusat Islam Sultan Mahmud mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk menikmati juadah istimewa kenduri Aidiladha di Masjid UMT bermula selepas Zuhur pada hari yang sama.

UMT turut merakamkan sekalung penghargaan kepada Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Berhad di atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan. Semoga kerjasama ini akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa. 

Disediakan oleh;

Seksyen Penyelidikan, Pembangunan & Jaringan

Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT

Tarikh : 3 Jun 2025

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca