PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

Kem Bestari Solat Bimbing Pelajar Dalami Ibadah

Kuala Nerus, 11 Ogos 2025 – Seramai 147 orang pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Guntung telah menyertai Kem Bestari Solat yang berlangsung pada 11 Ogos 2025 di sekolah tersebut.

Program ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kefahaman serta penghayatan ibadah solat dalam kalangan remaja. Antara pengisian utama ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bacaan dalam solat, amali wuduk, serta amali solat, yang dibimbing oleh fasilitator berpengalaman dari kalangan staf Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT serta pensyarah dari Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), UMT.

Penganjuran kem ini bukan sahaja membantu pelajar memahami dengan lebih jelas rukun-rukun solat, malah memberi peluang kepada mereka untuk mempraktikkan bacaan dan pergerakan solat dengan betul. Ia juga menekankan kepentingan penghayatan solat sebagai nadi kehidupan seorang Muslim.

Menurut guru pembimbing, solat bukan sekadar kewajipan, tetapi juga benteng utama dalam membentuk akhlak mulia serta disiplin diri.

Kem ini diharap dapat menjadi titik tolak kepada pelajar untuk mengamalkan solat dengan sempurna, sekali gus melahirkan generasi berilmu yang seimbang dari segi rohani dan jasmani.

Pusat Islam Sultan Mahmud

Universiti Malaysia Terengganu

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca