PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

KULIAH DHUHA AMBANG RAMADAN KUPAS RAHSIA AYAT-AYAT RAMADAN

KUALA NERUS, 5 Februari 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Kuliah Dhuha Ambang Ramadan bertajuk Rahsia Ayat Ramadan sebagai usaha menghidupkan suasana ambang Ramadan melalui pendekatan tadabbur al-Quran. Program ini memberi peluang kepada peserta memahami mesej, hikmah dan sentuhan rohani di sebalik ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan bulan Ramadan.

Seramai 120 peserta telah menyertai kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman, Jurulatih Utama Tadabbur Centre. Dalam sesi perkongsian ini, peserta didedahkan dengan kaedah tadabbur al-Quran serta pemahaman mendalam mengenai ayat-ayat yang berkaitan dengan ibadah, keutamaan dan hikmah Ramadan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Dr Kasyfullah bin Abd Kadir, Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, yang menyampaikan ucapan alu-aluan bagi membuka majlis. Kehadiran beliau menekankan kepentingan memahami al-Quran bukan sekadar membaca, tetapi menghayati pengajaran yang terkandung di dalamnya untuk membina kesedaran rohani dalam kehidupan seharian.

Program ini diharapkan dapat memberi kesedaran, menyentuh hati peserta serta mempersiapkan jiwa mereka bagi menyambut Ramadan dengan lebih bermakna, penuh keberkatan dan penghayatan.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca