Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

SETITIS DARAH SEJUTA HARAPAN

KUALA NERUS, 26 Februari 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Pusat Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah menganjurkan Program Derma Darah sempena Festival Ramadan pada 26 Februari 2026, sejurus selepas solat tarawih di Masjid Universiti Malaysia Terengganu.

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila seramai 83 orang tampil menderma darah, terdiri daripada warga UMT dan masyarakat setempat. Kehadiran para penderma mencerminkan semangat kesukarelawanan serta keprihatinan masyarakat dalam membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi bagi kegunaan pesakit yang memerlukan.

Penganjuran program ini bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan pendermaan darah sebagai satu amalan kebajikan yang mampu menyelamatkan nyawa. Bertepatan dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai ihsan, kasih sayang dan saling membantu, program ini turut menjadi platform untuk menyemarakkan budaya berbakti kepada masyarakat.

Pusat Islam Sultan Mahmud merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semua penderma, jawatankuasa pelaksana serta para sukarelawan yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif seperti ini akan terus mendapat sokongan pada masa hadapan bagi memperkukuh amalan kesukarelawanan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca