KUALA NERUS, 26 Februari 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menjadi lokasi penganjuran Program Semarak An-Nur Simfoni Ramadan yang dianjurkan oleh Kelab ILHAAM dengan kerjasama Kelab Pengurusan Kaunseling (PEKA) UMT pada Khamis.
Program yang berlangsung bersempena bulan Ramadan ini bertujuan menyemarakkan penghayatan Islam dalam kalangan mahasiswa dan komuniti melalui pelbagai aktiviti berteraskan al-Quran serta pembinaan sahsiah.
Antara pengisian utama program ialah pertandingan azan, hafazan al-Quran, tilawah al-Quran, kuiz Ihya’ Ramadan dan pertandingan khat yang berjaya menarik penyertaan pelajar serta komuniti setempat. Penganjuran program ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat dan kreativiti peserta, malah turut memperkukuh kefahaman terhadap ajaran Islam serta menyemai kecintaan kepada al-Quran.
Selain itu, program ini turut menghimpunkan pelajar madrasah bersama warga kampus dalam suasana yang harmoni dan penuh ukhuwah. Interaksi yang terjalin melalui pelbagai aktiviti sepanjang program berjaya mengeratkan hubungan silaturahim serta menyuburkan budaya ilmu dan penghayatan agama dalam kalangan peserta.
Penganjuran Program Semarak An-Nur Simfoni Ramadan mencerminkan komitmen Kelab ILHAAM dan Kelab Pengurusan Kaunseling (PEKA) UMT dalam menyokong usaha Pusat Islam Sultan Mahmud memperkasa aktiviti kerohanian dan pembangunan sahsiah mahasiswa selaras dengan aspirasi Universiti Malaysia Terengganu sebagai institusi yang membudayakan ilmu, akhlak dan nilai-nilai Islam.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen, kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif seumpama ini akan terus diperkasakan sebagai medium melahirkan generasi mahasiswa yang cemerlang dari aspek akademik, sahsiah dan spiritual.










