Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

NAIB CANSELOR UMT SANTUNI WARGA KAMPUS DI IFTAR PERDANA

KUALA NERUS, 10 Mac 2026 – Masjid Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini menjadi tumpuan warga kampus menerusi penganjuran Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana bersama Naib Canselor UMT yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan bersempena 20 Ramadan 1447H.

Majlis yang menghimpunkan warga UMT, pelajar serta komuniti setempat itu dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran sebelum diteruskan dengan iftar berjemaah. Juadah berbuka puasa merupakan hasil sumbangan hamba Allah dan warga UMT yang terus istiqamah menyumbang bagi menjayakan penyediaan hidangan sepanjang Ramadan.

Selain majlis berbuka puasa, program turut diserikan dengan penyampaian sumbangan tajaan iftar, penghargaan kepada wakil sukarelawan Ramadan serta penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Video TikTok Kreatif Ramadan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada RHB Bank kepada pelajar dan golongan asnaf UMT sebagai usaha menyantuni mereka yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan. Turut diadakan ialah penyampaian Baucer Dapur Ramadan kepada pekerja kebersihan UMT yang terpilih sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan jasa mereka dalam memastikan persekitaran kampus sentiasa bersih dan kondusif.

Penganjuran majlis ini mencerminkan semangat kebersamaan, kesyukuran dan keprihatinan dalam kalangan warga universiti, di samping mengeratkan ukhuwah melalui amalan berkongsi rezeki dan menyemarakkan penghayatan Ramadan.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca