Kuala Nerus, 23 April 2026 – Program Women’s Talk: “Dengan Lillah Hilang Segala Lelah” anjuran Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila ratusan muslimah membanjiri Masjid UMT bagi mengikuti pengisian kerohanian yang disampaikan.
Program yang menampilkan penceramah jemputan, Ustazah Muzayyanah Abdullah, pada asalnya berlangsung di Studio Al-Quran, namun terpaksa dipindahkan ke ruang utama masjid berikutan kehadiran peserta yang melebihi jangkaan sehingga memenuhi ruang asal program.
Dalam perkongsian yang penuh inspirasi, Ustazah Muzayyanah mengajak para peserta untuk menghayati konsep lillah, iaitu melakukan setiap amalan dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT. Beliau menekankan bahawa setiap keletihan, pengorbanan dan cabaran kehidupan akan menjadi lebih ringan serta bernilai apabila disandarkan sepenuhnya kepada Allah SWT.
Pengisian yang menyentuh aspek pembangunan rohani, pengukuhan iman dan muhasabah diri berjaya menyentuh hati para peserta, sekali gus memberikan suntikan semangat kepada muslimah untuk terus istiqamah dalam menjalani kehidupan dengan berlandaskan nilai-nilai Islam.
Sambutan luar biasa terhadap program ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan muslimah dalam menuntut ilmu serta memenuhi ruang-ruang pengimarahan masjid yang memberi manfaat kepada pembangunan diri dan masyarakat.
Pusat Islam Sultan Mahmud UMT berharap program seumpama ini akan terus menjadi platform memperkasa ilmu, menyuburkan jiwa dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan muslimah, sekali gus menyemarakkan budaya menuntut ilmu serta penghayatan Islam di universiti dan masyarakat.


















