Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

KORBAN PERDANA UMT SANTUNI LEBIH 400 KELUARGA, PERKUKUH JALINAN UNIVERSITI DAN KOMUNITI

KUALA NERUS, 30 Mei 2026 – Sempena Aidiladha 1447H, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) dengan kerjasama strategik Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Berhad telah berjaya menganjurkan Program Korban Perdana 1447H di Masjid UMT.

Program tersebut melibatkan penyembelihan 10 ekor lembu korban dengan penyertaan 24 orang sukarelawan terdiri daripada pelajar, warga UMT dan komuniti setempat yang berganding bahu dalam urusan penyembelihan, melapah, membungkus dan mengagihkan daging korban.

Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, Dr. Kasyfullah bin Abd Kadir berkata, sebanyak 403 kilogram daging korban telah diagihkan kepada 403 keluarga dari Kampung Pak Tuyu, Kampung Tok Jembal dan Kampung Seberang Takir.

Menurut beliau, program ini bukan sahaja menghidupkan syiar Islam dan semangat pengorbanan, malah memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat melalui pendekatan kebajikan yang berterusan.

“Ibadah korban menjadi medium mempererat hubungan sesama insan serta menyemarakkan nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat saling membantu. Sebagai institusi Rahmah, Masjid UMT akan terus menyantuni masyarakat melalui pelbagai program berimpak tinggi,” katanya.

Buat julung kalinya, program tahun ini turut menampilkan sesi perkongsian ilmu secara serentak oleh empat orang pensyarah UMT yang membincangkan isu-isu berkaitan ibadah dan pengurusan daging korban.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan universiti dan komuniti, daging korban turut dimasak untuk menyediakan juadah kenduri Aidiladha kepada warga kampus dan masyarakat setempat selepas solat Zuhur.

Turut hadir memeriahkan program ialah Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim.

UMT merakamkan penghargaan kepada Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Berhad atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Program Korban Perdana 1447H. Kerjasama strategik ini diharapkan dapat diteruskan demi manfaat yang lebih luas kepada masyarakat pada masa hadapan.

Pusat Islam Sultan Mahmud
Universiti Malaysia Terengganu

Media Kreatif UMT

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca